RITUAL PELANCARAN KAPAL BAHARU


Upacara pelancaran kapal baru dengan memecahkan botol kaca yang berisi air sebenarnya berasal daripada budaya Eropah, iaitu dengan memecahkan botol arak pada haluan kapal.

Saya difahamkan, kita cuba untuk menjadikannya sesuai dengan ajaran Islam. Lalu botol arak itu digantikan dengan bekas lain dan diisi dengan air tertentu yang dibacakan dengan ayat suci al-Quran. Namun masih mengekalkan budaya yang sama, iaitu dipecahkan pada haluan kapal.

Tanpa kita memahami falsafah budaya Eropah, yang mendasari dan membentuk ritual tersebut.

Dan saya rasa, tidak ramai yang mengetahui.

Bahawa kita sudahpun memiliki ritual pelancaran kapal yang sedia Islamik, yang pernah diamalkan oleh para pelaut terdahulu ketika hendak memulakan pelayaran yang pertama.

Agak sayang, kerana kita masih tenggelam dengan momokan orientalis barat yang lebih suka menonjolkan unsur-unsur tahyul yang hanya terdapat pada segelintir kecil masyarakat Melayu.

Apa yang menjadi amalan dalam budaya kita, sejak dahulu lagi, malah sehingga sekarang, masih diamalkan oleh nelayan di Terengganu. Iaitu dengan mendirikan solat hajat dan bacaan doa selamat di atas geladak kapal, sebelum kapal itu dilepaskan untuk belayar.

Bahkan di dalam Undang-Undang Laut Melaka ada menyebut mengenai tugas Malim yang akan memimpin bacaan doa dan selawat sebelum pelayaran dimulakan.

Adapun simbolik yang saya kira boleh menggantikan upacara pemecahan botol kaca, boleh diambil daripada manuskrip ilmu pelayaran Melayu, MSS2588.

Caranya ialah dengan kita berdiri berhadapan dengan haluan kapal, sambil tangan kita diletakkan pada dada haluan itu, lalu kita berkata kepadanya;

“Assalamualaikum hai perahu, engkau serta ia, aku engkau tiada.”

Setelah itu kita tepuk dada kapal itu.

Dicatatkan bahawa ini adalah syarat Nakhoda besar, apabila hendak memilih kapal untuk dilayarkan. Tetapi kita boleh mengambilnya secara simbolik, kerana ia sebahagian daripada khazanah kita sendiri.

Mengenai kata-kata yang diucapkan itu, ia bukanlah sejenis jampi serapah. Tetapi ia adalah kata-kata yang ditujukan kepada kapal itu sendiri. Ia boleh difahami dengan maksud “engkau serta ia (Allah), (tanpa Allah), aku engkau tiada”.

SN Arena Wati juga pernah menceritakan mengenai tatacara Nakhoda Bugis sebelum memulakan pelayaran. Bahawa Nakhoda itu akan meletakkan tangan kanannya pada dada haluan kapal dan tangan kirinya pada dadanya sendiri, merasai degupan jantungnya. Lalu dia berbicara dengan kapal tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Posts

link to HANTU AIR

HANTU AIR

Seorang sahabat pernah berkata kepada saya, "Laut itu jahat." Saya bertanya mengenai maksudnya itu. Dia menjawab, bahawa semua sihir dan gangguan halus biasanya akan dibuangkan ke laut. Saya...