HANTU AIR


Seorang sahabat pernah berkata kepada saya, “Laut itu jahat.”

Saya bertanya mengenai maksudnya itu. Dia menjawab, bahawa semua sihir dan gangguan halus biasanya akan dibuangkan ke laut. Saya fikir, barangkali ada logiknya di situ.

Pernah juga seorang sahabat saya yang lain berkata kepada saya, “sekiranya melihat puting beliung di tengah lautan, sebenarnya ia adalah sekor jin yang berupa wanita”.

Saya hanya mengangguk sahaja. Begitulah sepanjang pencarian saya mengenai rahsia kelautan, banyak mendengar cerita-cerita yang menarik sebegini.

Namun sebagai pengkaji, saya harus berpegang kepada kekuatan sumber dan fakta. Jadi tak banyak cerita yang saya kongsikan di dalam buku Nakhoda, melainkan ia memiliki sumbernya yang kuat.

Saya teringat, saya pernah membaca mengenai singgahsana Iblis yang berada di laut. Barangkali ada perkaitannya. Begini petikan hadisnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya.

Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya).

Maka datanglah salah satu tenteranya dan melaporkan: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa.

Kemudian datanglah tentera yang lain dan melaporkan: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya.

Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” (HR Muslim).

Setelah saya memahami, betapa dahsyatnya tipu daya yang berada di laut. Maka saya menyedari, bahawa disebalik gelora laut dan ribut taufan itu, ada gelora yang masih terpendam dan membimbangkan, yang masih tersimpan semenjak penciptaan Nabi Adam AS.

Lalu tersingkaplah segala persoalan di benak fikiran saya. Tentang mengapa Nakhoda memiliki amalan kerohanian yang begitu kuat. Tentang mengapa Nakhoda begitu menjaga kesucian perahunya di sepanjang pelayaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Posts