Dalam pelayaran sebuah perahu, ada banyak perkara yang pastinya tidak mampu diubah atau dikawal oleh manusia.
1. Perubahan angin
2. Perubahan ombak
3. Kehadiran musuh
4. Keadaan semula jadi alam semesta
Seorang Nakhoda akan faham, walaupun dia tidak dapat mengawal perubahan alam, dia sentiasa akan dapat mengawal pelayaran perahunya.
Malah perubahan yang berlaku ini. Walaupun dilihat oleh orang biasa sebagai “tiba-tiba” dan mengejutkan, Nakhoda akan melihatnya sebagai sesuatu yang sudah berada dalam jangkaannya.
Seperti mana yang dinukil oleh bekas Nakhoda Bugis, SN Arena Wati:
“Gerak bahtera. Dan ikkirik dalam jisimmu! Itu berita pasti kalau kau tahu kiat dan kaifiatnya.”
Ikkirik dalam bahasa Melayu, bermaksud “getaran”. Kiat dan kaifiat pula bermaksud ilmu yang berkait dengan tatacara dan tatatertib seorang Nakhoda (dalam konteks ini).
Malah segala jangkaan dan antisipasi terhadap ketidakpastian ini telahpun bermula sejak Nakhoda berada di dalam rumahnya lagi. Sebelum dia berjalan menuju ke perahunya. Dan sebelum perahunya membongkar sauh untuk memulakan pelayaran.
Ini sebenarnya sukar difahami oleh awak perahu/kelasi. Namun seringkali tindak tanduk Nakhoda menjadi rujukan dan contoh tauladan buat semua awak perahu. Dalam banyak hal, Jurumudi sering menjadi orang yang menterjemahkan tingkah laku Nakhoda kepada awak perahu, bahkan arahan Nakhoda sendiri.
Namun ini sama sekali tidak mewujudkan jurang hubungan antara Nakhoda dengan awak perahu. Hanya sekadar keilmuan Nakhoda sahaja yang sering menjadi perhatian, kerana ia sukar difahami oleh orang biasa.
Maka tidak hairanlah, apabila berlaku situasi yang genting di tengah-tengah pelayaran, seperti ribut taufan, seluruh awak perahu akan meletakkan sepenuh kepercayaannya terhadap keputusan yang dibuat oleh Nakhoda.
Kedudukan seseorang untuk layak menjadi Nakhoda sukar dibandingkan dengan pemilihan pemimpin biasa di zaman moden.
Untuk menjadikan seseorang itu Nakhoda, paling mudah difahami, haruslah diperakui keilmuan dan kewibawaannya oleh Nakhoda Tua atau Jurumudi Tua. Manakala untuk pemilihan pemimpin biasa pula, hanya boleh berlaku dengan proses undian sahaja.

