
Ketika saya menjual buku Nakhoda, ramai yang bertanya soalan ini,
“Bagaimana boleh terdetik mahu tulis buku Nakhoda?”
Maka kerap kali juga saya akan mengimbau kisah pertemuan saya dengan penulis kedua buku ini, iaitu Puan Ainun Radzi. Saya jawab kepada mereka yang bertanya, saya sendiri tidak menyangka akan menulis buku yang begitu spesifik mengenai nakhoda. Walaupun kajian saya mengenai perahu melayu sudah bermula sejak 2016 lagi, namun saya tidak menganggap watak nakhoda itu berada pada posisi yang penting. Apa yang sering saya kejar adalah reka bentuk perahu, sains di sebalik pelayaran perahu dan sejarahnya yang panjang.
Ianya bermula dengan pertanyaan daripada Puan Ainun kepada saya, siapakah tokoh di dalam sejarah melayu yang kita boleh angkat sebagai model kepimpinan?
Maka secara sepontan saya menjawab,
“Nakhoda!”
Mengenai nakhoda, rujukan yang paling banyak saya dapat ketika itu adalah daripada SN Arena Wati. Beliau menulis dengan begitu terperinci di dalam karyanya Sukma Angin, mengenai siapakah nakhoda yang sebenarnya, melalui penceritaan novel fiksyen. Walaupun pengetahuan saya agak terhad, kerana bergantung dengan Sukma Angin semata-mata, saya yakin dengan apa yang dijelaskan dengan panjang lebar oleh Arena Wati (walaupun bersifat fiksyen).
Maka dengan keyakinan itu saya bersungguh mengatakan kepada Puan Ainun, bahawa nakhodalah tokoh yang paling sesuai dijadikan model kepimpinan melayu.
Setelah itu, bermulalah proses kajian yang lebih teliti mengenai kepimpinan nakhoda ini. Puan Ainun pula bersungguh-sungguh mencari sumber kewangan untuk menajai kajian yang saya lakukan. Sehingga saya terpaksa berkampung di Pulau Duyong Terengganu selama seminggu. Hanya untuk mendapatkan gambaran mengenai kisah hidup nakhoda yang sebenar. Saya berasa tidak cukup dengan kajian literatur pada Undang-Undang Laut Melaka dan undang-undang laut yang lain semata-mata, saya perlu melihat kepada bekas-bekas tinggalan nakhoda yang real dan masih ada di Pulau Duyong.
Puan Ainun terlebih dahulu berbincang dan memuktamadkan dengan saya mengenai rangka dan naratif yang ingin ditulis di dalam buku nakhoda ini. Sepanjang penulisan, setiap bab akan disemak dan diperhalusi bersama. Saya hanya memuat naik ke dalam google drive sahaja. Bila-bila masa dia akan semak secara online dan meninggalkan komen. Kemudian saya betulkan lagi. Sehinggalah sama-sama berpuas hati.
Puan Ainun memiliki pengalaman yang luas di dalam bidang perunding kepimpinan. Dia mahu buku ini benar-benar boleh menzahirkan model kepimpinan. Bukan hanya cerita sejarah semata-mata. Itu sangat saya hargai. Banyak juga yang saya belajar daripadanya sepanjang menulis buku ini. Dan apabila buku ini siap ditulis dan dicetak, dia akan mengulang kaji berkali-kali sehingga dia benar-benar menguasai isi kandungannya. Setiap kali bertemu dengan saya, dia akan menyoal saya semula, mengenai ilmu kepimpinan nakhoda. Saya pula yang terkial-kial mahu membelek semula. Puan Ainun berkata kepada saya,
” Saya sangat yakin dengan model kepimpinan nakhoda ini. Kamu juga mesti yakin dengan apa yang kamu tulis.”
Benarlah apa yang disebut oleh Puan Ainun. Mungkin kerana ini buku pertama yang saya berjaya hasilkan, maka muncul sedikit keraguan dalam diri saya. Barangkali juga kerana sifat semulajadi saya yang mahukan kesempurnaan dalam sesuatu penulisan. Maka saya sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang saya tulis. Namun kata-kata Puan Ainun itu benar-benar menggoncang diri saya. Lalu saya tatap buku nakhoda yang telah siap dicetak itu. Dan saya bawa kemana-mana. Mengulang kaji semula apa yang saya tulis.
Saya hanya menulis dan menyusun kembali pengalaman-pengalaman silam nakhoda menjadi satu model kepimpinan. Ketika menulis buku ini, saya bertarung dengan diri saya sendiri. Hampir-hampir saja saya berputus asa. Bagi menghadapi rasa putus asa itu, saya mengandaikan, bagaimana sekiranya saya adalah seorang nakhoda. Dan perahu saya adalah diri saya sendiri. Maka saya sedaya upaya cuba mengaplikasikan kepimpinan nakhoda itu ke dalam diri saya.
Meskipun saya tidak memiliki apa-apa perusahaan dengan pekerja-pekerjanya, namun saya tetap memiliki peranan sebagai pemimpin, kepada diri sendiri. Maka saya harus membawa diri saya keluar daripada keselesaan dan rasa putus harapan. Jangan takut dengan gelora dan ribut gelombang. Jadilah nakhoda yang membawa perahunya sampai dengan selamat, hingga ke destinasi. Maka itu telah menjadi pelajaran pertama yang saya dapat daripada buku ini.
Sehingga hari ini, Puan Ainun masih komited dengan model kepimpinan nakhoda. Di setiap kursus kepimpinan yang diadakannya, dia akan membentangkan model kepimpinan nakhoda untuk diaplikasikan oleh peserta kursus. Puan Ainun berkata kepada saya, dengan kapasiti yang dia ada, ini adalah sumbangan yang dia boleh lakukan untuk penerusan warisan maritim melayu. Lalu saya memaklumkan kepadanya, bahawa sekarang saya sedang dalam usaha menulis buku nakhoda 2.0, mengenai keilmuan yang lengkap seorang nakhoda, zahir dan batin. Dan dia tidak sabar menunggu hasil penulisannya.

