4 Mei 2026, menemui seorang sahabat, bernama Izham Alias, yang hendak berangkat menunaikan ibadah Haji. Lewat jam 9.30 malam kami bertemu di sebuah kedai mamak, sehingga menghampiri jam 12.00 tengah malam. Banyak perkara yang dibincangkan, terutama perihal penulisan dan menjual hasil karya. Bagaimana ingin menjadi seorang authorprenuer yang berjaya. Satu cita-cita yang didambakan oleh setiap orang penulis, barangkali.
Mengenalinya sudah cukup lama. Apatah lagi dia terkenal dengan jenama Kebun Bandar. Dialah yang mengasaskannya, semenjak di bangku universiti lagi. Ketika itulah kami bertemu. Dia mengajak saya untuk memasuki pertandingan novel sains fiksyen. Oleh kerana saya seorang pelajar fizik, maka saya terpengaruh, tanpa saya mengetahui selok belok penulisan fiksyen. Izham kata, takpa, kita belajar. Dia mengajak saya pergi ke satu bengkel penulisan sains fiksyen di Johor Bahru, pada 20 Februari 2016. Itulah kali pertama saya terdedah dengan teknik penulisan fiksyen. Antara penyampainya adalah Dr Lim Swee Tin.
Saya ketika itu sedang menjalani latihan industri selama 6 bulan di UTM JB. Izham pula bertolak dari KL menaiki bas. Sebelum sampai di JB, Izham menelefon saya, bertanya, “Kita ada kenderaan tak dekat sana?”
Saya yakin, jawab, “Ada. Pinjam kereta kawan serumah.”
Izham gembira. Dia kata, “Bagus!”
Saya tambah lagi, “Tapi kereta manual.”
Dia terkejut, “Alamak, siapa yang nak drive?”
Saya berhelah, “Aku tak pandai drive manual.”
Dia kata, “Akupun sama.”
Tiada pilihan, saya bagi solusi, “Kita redah sajalah. Aku yang drive.”
Sampai saja di stesen bas JB, saya ambil dia dengan kereta kancil manual, berwarna putih. Sepanjang perjalanan ke lokasi kursus, saya bawa kereta dengan kelajuan paling perlahan dan paling kiri. Sekejap-sekejap kereta terbatuk, namun sempat diselamatkan dengan selalu menekan-nekan minyak. Seperti berjalan di atas titi yang nipis. Walaupun berada di dalam kereta, kami seolah-olah sedang mengawal aliran pernafasan keluar dan masuk.
Izham sekarang jadi pensyarah di Politeknik Jeli Kelantan. Mungkin mengajar orang cara tanam pokok. Begitulah yang saya faham daripada ceritanya. Tapi banyak juga penulisan ebook yang dia hasilkan mengenai teknik-teknik seputar penanaman dan perkebunan. Memang konsisten dengan kebun sejak universiti. Jenama Kebun Bandar pula sehingga sekarang masih hidup bersama dirinya.
Mengenai penulisan novel pula, Izham masih tetap mahu menghasilkan penulisan sains fiksyen yang berkisarkan dunia tumbuh tumbuhan. Dulu dia pernah tunjuk kepada saya draf penulisan novelnya mengenai lebah dan draf mengenai tamadun maya. Sehingga hari ini saya dan dia masih belum berjaya menyiapkan sebuah novelpun. Dia masih lagi menulis draf-draf novel. Dan saya juga begitu. Setiap kali kami bertemu, pasti ada saja projek novel yang baru. Tapi kami masih positif, suatu hari nanti sama ada saya atau dia, akan ada juga penulisan novel yang siap dan berjaya diterbitkan!

