
Yunus duduk seorang diri di atas bangku stesen Tramvay Sultan Ahmet sambil membiarkan sahaja berlalu gerabak Tramvay di kedua-dua arah lorong. Orang-orang di sekelilingnya tidak mengendahkan Yunus yang duduk bersahaja tanpa melakukan apa-apa. Sesekali mata memandang kehairanan terhadap tindak tanduk Yunus itu yang seolah-olah pemuda yang telah kehilangan segala hawa nafsu keduniaan dan pedoman hidup.
Angin deras bertiup dingin dari Laut Marmara. Selat Bosforus yang telah menyaksikan jutaan kapal yang pernah berulang-alik perjalanan antara laut marmara dan laut hitam dari zaman kegemilangan Viking sehinggalah ke zaman Atarturk moden. Angin dingin yang bertiup itu hanya biasa sahaja bagi penduduk Istanbul. Namun bagi perantau dari negara yang tidak pernah merasai musim sejuk seperti Malaysia, angin dingin itu begitu menyukarkan pernafasan dan menyesakkan dada. Yunus membalut mulut dan hidungnya dengan kain mafla berbulu. Sekali dia menghembus nafas, berkepul asap menjelma darpada liang-liang mafla.
Di musim sejuk itu, puntung-puntung rokok sentiasa bersepah di setiap lantai di bandar Istanbul. Orang Turki menghisap rokok di waktu musim sejuk sama juga seperti kombi tradisional di rumah-rumah miskin orang Turki. Daripada rumah-rumah miskin orang Turki itu, asap-asap keluar dari serombong hasil pembakaran kayu api yang banyak. Semata-mata untuk memanaskan sebuah rumah. Bau asap serombong rumah yang bercampur dengan cuaca dingin. Ia bergerak begitu perlahan sekali. Kesegaran udara yang selalu dinikmati di Malaysia tidak lagi sama apabila berada di Istanbul pada musim sejuk. Apatah lagi angin dingin itu bercampur dengan asap rokok yang dihembus oleh setiap penduduk Istanbul yang berjumlah 30 juta orang. Daripada campuran bau-bauan itu, adalah bau kesengsaraan penduduk Istanbul yang bekerja keras untuk meneruskan kehidupan. Orang Turki selalu berkata apabila mereka menghembuskan asap rokok ke udara, ‘’hayat zor!’’, yang memberi maksud kehidupan mereka ini sentiasa susah.
Di musim sejuk itu, gelandangan-gelandangan Istanbul masih lagi tidak memiliki rumah. Begitu juga kucing-kucing Istanbul yang sentiasa digilai oleh para pelancong dan masyhur di seluruh dunia, juga tidak memiliki rumah. Walaupun mungkin kerajaan Turki sentiasa menyediakan tempat perlindungan bagi mereka, tetap juga kelihatan gelandangan yang berlindung di balik bangunan dan berselimut di bawah kotak-kotak. Begitu juga kucing-kucing yang berkeliaran, hanya duduk mengembangkan bulunya di dinding-dinding bangunan. Yunus melihat semua itu dan cuba merasai segala kesengsaraan yang mereka rasakan. Kadang-kadang Yunus berpuasa tanpa bersahur. Kemudian hanya berbuka puasa dengan makanan yang paling murah dan paling mudah. Yunus berbisik di dalam hati, ‘’Izinkan aku merasai kesusahan yang kamu rasakan. Kerana aku tidak mampu memberikan kemudahan yang kamu perlukan.’’
