Jurnal: Ramadan di Istanbul


Selamat Datang Wahai Sultan Seribu Bulan

Ramadan 1439 H bersamaan Mei/Jun 2018 M, adalah musim panas di Turki. Namun suhunya tidak sepanas Malaysia. Bacaan suhu purata ketika itu adalah 25’C dan paling tinggi pula mencecah 29’C. Hanya terik matahari sahaja yang mengganggu. Kalau berteduh di kawasan redup, datang angin dan udara yang bertiup memberikan hawa yang sejuk dan menyamankan. Apabila menaiki Otobus (bas) atau Dolmus (van), mereka hanya membuka tingkap sahaja tanpa memasang aircond. Di sini kami boleh hidup dengan selesa tanpa perlu memiliki kenderaan sendiri. Kebanyakan orang Turki juga hanya menggunakan kenderaan awam. Di Istanbul sahaja ada lima laluan Tramvay dan dua laluan Metrotrain. Begitu juga feri yang merentas Selat Bosforus antara bahagian Asia dan Eropah, sentiasa bersedia di Terminal setiap lima minit.

Siang hari di musim panas, tempoh waktunya lebih lama berbanding musim-musim yang lain. Manakala waktu malamnya pula sangat pendek. Ketika itu kami berpuasa selama lapan belas jam. Berbanding puasa di Malaysia yang hanya tiga belas jam sahaja. Siang hari di Istanbul ketika bulan Ramadan, adalah waktu untuk beruzlah di rumah. Suasana di luar rumah bukanlah suasana yang selayaknya ketika di bulan Ramadan. Kebanyakan orang Turki ternyata tidak berpuasa. Kedai makan mereka penuh dan meriah seperti di bulan-bulan yang lain. Wanita-wanita Istanbul pula selalu mengenakan pakaian yang mencolok mata. Oleh sebab itu, kami lebih memilih untuk “beruzlah” di rumah berbanding berjalan-jalan di luar.

Seusai sembahyang asar, kami sudah bersiap keluar dari rumah di Findikzade. Menaiki Tramvay yang hanya tujuh perhentian sahaja menuju ke stesen Sultan Ahmet. Di situlah terletaknya Masjid Biru atau nama sebenarnya Masjid Sultan Ahmet. Berhadapan Masjid Sultan Ahmet adalah Muzium Hagia Sofea yang sekarang sudah dijadikan Masjid semula. Sebelah Hagia Sofea pula adalah Istana Topkapi yang besar. Dibina oleh sang penakluk, Sultan Muhammad Al-Fatih selepas penaklukannya terhadap Konstantinopel. Inilah tiga tempat wajib singgah pagi pelancong yang pertama kali sampai di Istanbul.

Kami menuju ke dataran Masjid Sultan Ahmet. Majlis Perbandaran Istanbul menganjurkan acara buka puasa besar-besaran. Kami sampai lebih awal untuk mendapatkan tempat duduk. Acara buka puasa ini akan sentiasa penuh dengan pengunjung. Pelancong yang bukan Islam juga turut serta bersama untuk merasai pengalaman berbuka puasa. Makanan buka puasa yang disediakan agak simple. Hanya sebiji roti bun, empat biji Kofte, dua biji baklava, semangkuk nasi Turki, semangkuk mercimek corbasi dan sebotol air mineral.

Gambar Bazaar Ramazan yang diambil oleh Evren Kalinbacak

Jika di Malaysia, kita ada bazar Ramadan di waktu petang yang menjual makanan untuk berbuka puasa. Tetapi di Masjid Sultan Ahmet, bazar Ramadan mereka adalah pada waktu malam. Mereka akan membina deretan gerai-gerai cantik daripada partition yang mudah pasang. Barang jualan mereka bukanlah daripada jenis makanan tetapi adalah barang-barang tradisional Turki. Ramai penjual yang datang jauh dari luar Istanbul, semata-mata untuk menjual di situ. Kami melihat bazar Ramadan mereka agak unik. Ada yang menjual potret yang dilukis pada minyak kemudian ditekapkan pada kertas. Mereka kata namanya Ebru, seni lukisan Turki. Barang-barang tembaga Turki pula sentiasa menjadi pilihan menggemar masakan Turki. Begitu juga dengan barangan tradisional mereka yang lain. Bagi orang Turki, mereka mementingkan keaslian atau originality sesuatu barang dan makanan. Berbeza masak menggunakan periuk tembaga dengan periuk stainless steel. Menggunakan periuk tembaga lebih asli dan istimewa. Sebab itulah tidak hairan kenapa barangan tradisional mereka masih lagi laku sehingga ke hari ini.

Berjalan di sekitar Masjid Sultan Ahmet selepas solat Terawih, kami terserempak dengan seorang jejaka Turki yang memakai pakaian lama zaman Uthmaniyah. Pada belakang badannya, digendong teko air tembaga besar bersama cawan-cawan kertas. Itulah air yang dipanggil Ottoman Serbet atau Ramazan Serbet. Sejenis air renehan buah-buahan bersama rempah-rempah tertentu. Apabila sudah siap, akan dicampur ais menjadikannya sejuk dan sedap untuk diminum. Jejaka Turki itu akan menghidangkan kepada sesiapa saja yang dia jumpa secara percuma. Itulah minuman tradisi mereka setiap kali menjelang Ramadan.

Di Istanbul, keistimewaan Ramadan adalah pada waktu malam dan subuh. Solat Terawih mereka dua puluh rakaat. Disebabkan waktu malam yang singkat, solat Terawih hanya disiapkan dalam masa 30 minit sahaja. Imam membaca surah Al-Fatihah hanya dalam sekali nafas. Kemudian Imam akan membaca 1 atau 2 ayat daripada surah lazim. Masjid-masjid mereka sentiasa penuh dan melimpah sehingga ke penghujung Ramadan. Apatah lagi kerajaan Turki menetapkan Lailatul Qadar adalah pada malam 27 Ramadan setiap tahun. Maka kemuncak malam Ramadan di Turki adalah pada tarikh tersebut. Kami sempat menyertai pesta ibadah Lailatul Qadar tersebut. Disebabkan terlalu penuh, kami tidak dapat beriktikaf di dalam dan di perkarangan luar Masjid Sultan Ahmet. Setelah lama mencari jalan untuk beriktikaf di sana, akhirnya kami menemui sebuah masjid kecil yang masih banyak lagi kekosongan iaitu Masjid Firuz Aga. Masjid kecil tersebut terletak berdekatan sahaja dengan stesen Tramvay Sultan Ahmet.

Pada malam itu ramai yang datang menghampar tikar di perkarangan luar masjid. Mereka tidur dan beribadah sehingga subuh iaitu pada pukul 3.30 am. Sebelum azan subuh pula Imam akan membacakan Al-Quran selama 30 minit. Selepas itu masing-masing akan mencari makanan untuk bersahur. Ada orang Turki yang membuka meja dan menjual makanan sahur berupa roti dan corba sahaja. Teh Turki atau dikenali sebagai Cay pula, sentiasa ada orang yang menjualnya sepanjang malam. Saya sendiri sempat membawa pelancong Malaysia untuk merasai suasana Ramadan di Istanbul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Posts